Empat Pintu Sempadan Thailand-Malaysia Dibuka Semula Mulai Esok – Baca Dulu

PATTANI, 17 April (Bernama) — Bermula esok,  empat pintu sempadan Thailand-Malaysia dibuka semula dan dijangka lebih 8,000 warga Thailand yang terkandas di Malaysia akan pulang secara berperingkat ke kampung halaman masing-masing.

Antara yang terkandas sejak 23 Mac lalu, berikutan kesemua sembilan pintu sempadan Thailand-Malaysia ditutup, termasuk pekerja kedai makan, nelayan, penoreh getah, pekerja ladang sawit, pelajar dan  mereka yang melawat saudara mara di Malaysia.

Timbalan Jurucakap Tentera Kolonel Sirichan Ngathong berkata Panglima Tentera Darat Thailand, Jeneral Apirat Kongsompong mengarahkan semua unit di sempadan bersiap sedia dengan kemasukan warga Thailand yang akan pulang.

“Tentera akan membantu urusan kemasukan warga Thailand, memeriksa kesihatan mereka dan menghantar mereka ke kemudahan kuarantin,” kata Sirichan seperti yang dipetik Bangkok Post.

Sirichan berkata Apirat turut menegaskan semua pihak berkuasa mempertingkat operasi dan rondaan untuk mengelak warga Thailand menyeludup masuk.

Pada 10 April, Kementerian Dalam Negeri Thailand menyatakan kesemua 23 pintu sempadan dibuka semula bermula esok, membolehkan warganegara itu yang terkandas pulang secara berperingkat.

Di selatan Thailand, empat pintu sempadan Thailand-Malaysia membolehkan 300 warga pulang setiap hari – seramai 100 orang di pintu sempadan Sadao di Songkhla dan Sungai Kolok di Narathiwat, Betong di Yala (50 orang) dan Wang Prachan di Satun (50 orang).

Mereka yang mahu pulang perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan Kementerian Dalam Negeri Thailand.

Selain itu, mereka perlu mendapatkan sijil kesihatan layak melakukan perjalanan dan sijil perjalanan dari kedutaan atau pejabat konsulat yang menyatakan tempat tinggal di Thailand serta bersetuju untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Kini, Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur, Pejabat Konsulat di Pulau Pinang dan Kota Bharu turut menyediakan barangan keperluan kepada kira-kira 4,000 warga Thailand yang terkandas di Malaysia.

Media tempatan melaporkan terdapat lebih 14,000 warga Thailand masih terkandas di Malaysia.

SUMBER— BERNAMA 

=================

DAPATAKAN Tshirt MCO Vacation Edisi Terhad ini Khas Untuk Anda! Klik Foto

Kongsikan Berita Baik Ini Dengan Rakan Anda!