Welcome to TCD | The Cycledesign - Everything Is Tshirt

Bersabar Di Ludah

Spread the love

Bagi yang kenal ada rakan-rakan yang jadi beauty consultant MaryKay, boleh tanya nilai pin-pin ini, dan apa maknanya, dan bagaimana boleh mendapatkannya dan apa benefitnya…

Bagi yang tidak tahu, pin-pin ini adalah tanda Achievement.

Yang ada nilai dolar tu, ya, kerana MaryKay ini dari US, ia adalah senilai dengan jualan setahun seorang beauty consultant MaryKay.

Personal Sales. Bukan Unit Productions.

Ini rekod isteri saya.

600,000 usd

900,000 usd

1,700,000 usd

Banyak kan?

Banyak. Dan hasil komisyennya juga lumayan, banyak. Dapat beli rumah, kereta, dapat kereta percuma, cincin-cincin percuma, percutian 5 bintang ditaja dan diberi duit lagi, dan kena bayar LHDN berganda-ganda.

Saya tanya dia, apa kenangan paling dia tak boleh lupa dalam usaha dia mendapatkan kejayaan begini, selain daripada dia punyai kebolehan untuk close sale dengan rakan-rakan dia (dan rakan-rakan perempuan saya yang saya kenalkan pada dia) hingga membuatkan pelanggan-pelanggan tu sayang dia, atau kasihankan dia, sampai dia boleh buat orang tu beli apa yang dia rekemen.

Tapi bukanlah semua pelanggan dia buat begitu dan berpeluang buat begitu.

“Kak Intan, please tolong ruq, nak lengkapkan challenge ni, kak Intan beli ye”? .

Ini nama yang selalu dia ceritakan betapa baiknya Kak Intan ni pada dia. Kak Intan ni seorang Lawyer, peguam kemalangan yang mahsyur di Taiping, Senior saya di SMKA Slim River.

“Ye adikku sayang, Kak Intan nak kena beli berapa ni? Lalu dia akan rekemen mengikut apa keperluan kulit kak intan untuk terus sihat dan segar.

Antara nama lain….

“Kak Yati, jangan la beli untuk Kak Yati je, belilah reward untuk staff Kak Yati yang perform bulan ni, tentu staff lagi sayang Kak Yati dan tak lari pergi kerja tempat lain”

Kak Yati ni, saya panggil dia YB Nilai, seorang usahawan Dobi yang ada ISO dan cuci barang-barang kapal terbang, hotel, resort dan juga dobi cucian walk in…

Walhal, kak yati ni bagi saya, seorang yang agak tegas dan jenis kasar-kasar orang Nogori, tapi entah macam mana, mereka jadi sangat baik, dan boleh aje kak yati ni berlembut hati je dengan isteri saya.

Selain dua ini, ramai lagi nama-nama pelanggan yang sebegitu yang dia sebutkan. Bahkan majoriti pelanggan-pelanggan personal dia, sudah buat akaun dia jadi Favourite Account di bank masing-masing, dah tak tanya no akaun, tak perlu copy paste.

Dan dia juga ada pelanggan di peringkat pertengahan, dan juga kebanyakkan. Dia juga ada pelanggan yang dari kalangan strangers yang kemudiannya jadi kawan.

Kerana , saya lihat, dengar dan perhatikan, dan kadang diminta pendapat dari dia, yang isteri saya ni, dia bukan sahaja consult tentang kesihatan kulit dan mahu wanita kelihatan cantik , bertenaga dan tinggi iltizam serta keyakinan diri, dia yang belajar sebagai Peguam Syariah, sangat ramai pelanggannya turut meminta pendapat darinya perihal syariah, terutamanya major dia, alam perkahwinan.

Pelanggan jadi sangat akrab, hinggakan hal-hal yang peribadi, diminta pendapat kepada Isteri saya. Sehingga tahap itu , tahap kepercayaan pelanggan dia kepada dia. Ada yang dalam masalah penceraian, ada dalam masalah tuntutan nafkah, paling ramai yang hadapi masalah dipukul sang suami.

Ini banyak kali dia ucap syukur dan bertambah sayang dia pada saya, kerana saya tak pernah angkat tangan pada dia. Saya tak pernah pukul dia. Saya kalau marah, saya akan diam, saya akan keluar naik motor, mungkin ride laju-laju, dah lega, balik.

Silence Treatment antara yang paling berkesan antara kami untuk saling memaafkan semula selepas itu, selepas beberapa jam atau sehari, dah tak tahan dah if tak bercakap, masa mula marah, akan tak bercakap, apabila timbul rasa dah tak tahan , akan mula dengan whatsapp.

Wallahi, memang tak pernah saya pukul isteri saya. Mak saya pesan itu paling utama, apa yang arwah ayah saya amalkan, dia pesan. Jangan Pukul. Jangan Herdik.

Masalah? Tentu ada, tapi Allah swt hadirkan orang-orang yang mengadu pada dia, untuk kami sama-sama bersyukur dan ambil jadi pedoman dan pengajaran, dan biasanya lepas dia beri pendapat, orang yang sedang dalam masalah kadangkala bukan nak langkah penyelesaian, tetapi nak didengar, dan diberi 2nd opinion, waima apa pun nasihat, dia akan suruh rujuk kaunselor dan pejabat agama.

Ini antara kisah-kisah dia yang mendapat pelanggan-pelanggan yang sayang dia. Juga unit dia yang ramai yang bagus-bagus bersama dia.

Saya tanya dia, apa yang paling dia ingat ketika dia nak capai Usd 1,700,000 itu. Ketika itu, dia dalam cabaran, atau challenge TDT. Top Director Trip.

Di Sungai Petani, di Aman Jaya, pada tahun itu, Subway Aman Jaya akan buat setiap hari rabu, buy 1 free 1, beli 1 , percuma satu, tak kira lah Italian BMT atau apa.

Maka dia dan team dia, akan berada disitu. Mereka minta kebenaran pengurusan mall dan subway, memang mereka buka meja untuk booth setup , dan juga edar flyers.

Di Subway, dia buat warm chat, edar flyers dan beri free sample. Marketing kan.

Nak jadi cerita , pada suatu hari rabu tu, dia dan team dia, salah seorangnya bernama Liya, buat warm chat.

Edar flyers, orang yang tengah beratur dan juga yang tengah makan.

Biasanya dia akan minta maaf jika orang tengah makan, beri flyers dan free sample sahaja, lepas siap makan baru sembang-sembang, kecuali ada yang selesa sambil makan-makan tu nak dengar penerangan dia..

Waktu lunch hour, ramai lah datang makan, Buy 1 Free 1 kan…Ramai beratur, muda dua, remaja, bekerja.

Dari meja ke meja dia edar, dan ada yang borak, ada yang tak mahu di ganggu , tak di ganggu.

Tiba-tiba, ada satu meja ini..orang tu baru duduk, belum makan, jadinya dia niat nak berikan flyers dan sample product..seorang wanita dalam usia 50an.

“Hi, saya ruq, maaf ganggu nak makan, ni saya nak bagi sample percuma skin care………..”

PTUIHHH…

Orang tu ludah dia, tapi tak kena muka, kena tudung.

Semua orang yang tengah makan, tengah beratur, semua tengok.

Dia dah macam terkejut, sebab tak pernah kena dalam 8 tahun buat begitu…itu kali pertama…

Dalam kepala dia, apa nak buat ni, apa nak buat ni, nak respon marah balik ke atau nak buat apa

Mula-mula terkejut tu dia kata dalam hati memang rasa nak marah.

Team dia nama Liya dah terkejut, dah tarik dia supaya terus duduk or berhenti dulu edar flyers..

Tapi dia kata tiba-tiba entah mana datang rasa lapang dada dan cool

“Im sorry, its my fault i kacau you makan, im so-so sorry, for that, i beri you this bigger sample set as a sign i want to appologize, im sorry”

Memang betul dia rasa bersalah betul kacau orang nak makan, dan tak tahu apa masalah orang tu sedang lalui kan, taknak di ganggu ke ape ke…tapi biasanya rejection berjuta kali dia terima sebelum ini, tak lah sampai kena ludah, kena marah, or kena syuh-syuh itu sudah lali dan biasa.

Ketika dia cerita ni, saya rasa macam nak menangis.

Rupanya kejayaan-kejayaan dia naik pentas, reward itu ini, triple court, kereta, dan macam-macam lagi kejayaan, rupanya ada cabaran sampai tahap di ludah ni dia lalui… saya terus rasa nak

peluk dia, tapi time dia cerita ni, dalam kereta, dan jem di Penang, cermin depan kami taklah tinted gelap sangat….kan..

Tapi memang saya tak tahan, air mata bergenang, tapi saya tanya dia terus, apa yang yang buat?

Yang rasa nak menangis, tapi orang tu memang buat dek je, tapi dia tak tolak pun free sample tu, yang biarkan je , dan ada 3 orang perempuan dalam 40an duduk di belakang meja tu, bangun dan tarik tangan yang.

Akak-akak tu tanya dia, “adik ok ke”?

Wife saya kata mula-mula ada rasa marah dan malu, lepas akak tu tanya macam tu, dia rasa ok..

“Ok je, saya silap kacau dia makan”

Akak tu kata, “memang silap, tapi takyah la sampai ludah”

Takpe dik, sat lagi akak habis makan, adik cerita kat akak.

Lepas tu dia berhenti edar flyers dan beratur-beratur, semua yang beratur, termasuk staff-staff Subway tu, terus senyum-senyum dan tanya dia “ok tak”?, “ok tak”?..dia kata ok je.

Akak yang 3 orang tu, wife saya cerita sedikit je, dapat close sales Rm600 lebih seorang. Dan yang beratur-beratur, mereka yang mintak flyers dan free sample dan no contact.

Budak-budak subway belanja dia air.

Budak-budak Subway tu sampai sekarang, if wife saya lalu, diorang tau dah, akak marykay. Saya beli salad haritu dapat lebih, staff situ kata akak cantik selalu bagi free gift kat kitorang sebab bagi kebenaran buat sales kat situ…

Syukurlah isteri saya sempat berfikir sejenak untuk bertindak waras meminta maaf. Kalau dia marah balik, atau mengamuk semula kerana diludah, tentu ada orang rakam dia dan jadi viral, bad reputation, dan tentu akak-akak 3 orang tu pun tak tertarik nak beli, dan yang beratur-beratur tu pun takkan jadi customer, dan tentu malu dah nak pergi Subway tu…

Saya sambil berair mata, ucap tahniah kat isteri saya, saya kata, kenapala yang tak beritahu kisah ni dulu waktu nak dapat TDT tu…

“Sebak abang yang”

Isteri saya tersenyum, dan dia berkata

“Sebak je tak cukup bang…..

” ….yang nak………”

Bersambung….

(Visited 272 times, 1 visits today)

Written by